Thursday, July 31, 2014

Kisah 7 Ekoq Lembu Kurus

Dalam kehidupan kita aka diuji selama 7 tahun dengan dugaan dan diberikan kesenangan selama 7 tahun dan tahun seterusnya terpulang untuk kita menterjemahkan erti syukur itu..
Kisah Nabi Yusuf dalam al-Quran adalah satu kisah kenabian yang lain daripada yang lain. Jika dalam kisah nabi lain, persengketaan antara kaum mukmin dan kafir dalam menegakkan yang hak dan merobohkan yang batil sangat menonjol, kisah Nabi Yusuf adalah kisah satu masyarakat beriman - individu, keluarga dan kelompok - yang tidak disibukkan dengan peperangan. Yang ada adalah masyarakat damai, aman dan sentosa yang hanya diterpa pertelingkahan tingkah laku warganya.

Al kisah, pada satu malam, Raja Mesir ketika itu bermimpi melihat ada tujuh ekor lembu gemuk yang dimakan tujuh ekor lembu kurus dan melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Apabila ditanyakan kepada ketua kaum yang terkenal sebagai pembaca mimpi, mereka mengangkat bahu dan berkata ia adalah mimpi yang bercampur aduk dan mereka bukanlah orang yang mengetahui mimpi (yang sedemikian) itu. (Surah Yusuf: ayat 43-44). Selepas terjadi perbincangan di kalangan mereka maka ditanyakanlah maksud mimpi itu kepada Yusuf yang masih berada dalam penjara. Beliau menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah ia pada tangkai kecuali sedikit daripada bahagian yang kamu jadikan untuk makan. 

Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau panjang, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya, kecuali sedikit daripada apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)." (Surah Yusuf: ayat 47-49) Raja dan Kerajaan Mesir kemudian melaksanakan apa yang disarankan Yusuf bahkan Raja mengangkatnya sebagai Menteri Ekonomi atas permintaan Yusuf sendiri. (Surah Yusuf: ayat 55). Maka, terselamatlah Mesir daripada bencana kebuluran dan kegoyahan ekonomi yang mengerikan malahan ia boleh membantu negara di sekitarnya seperti Kan'an atau Palestin dan Syam sekarang. Cerita ayah dan saudara Yusuf adalah buktinya. (Surah Yusuf: ayat 58-68) 

Seperti dikisahkan Ibnu Katsir (wafat 774H) dalam dua kitab besarnya iaitu Tafsir al-Quran al-'Azim dan al-Bidayah wa an-Nihayah. Dalam menghadapi sebarang kesulitan, umat Islam diwajibkan merujuk kepada pakar agar mereka boleh mencari jalan keluar daripada kesulitan berkenaan. Mereka tidak boleh panik dan bertindak melulu yang mungkin akan lebih menyulitkan keadaan dan menjejaskan penemuan jalan penyelesian yang berkesan. Apatah lagi jika mereka bertindak menentang pentadbiran negara yang pasti akan menguntungkan lagi pihak yang menginginkan kejatuhan negara dan menjadikan mereka di bawah penjajahan model baru dalam bentuk liberalisasi ekonomi. Raja Mesir merujuk kepada ketua kaum dan mereka pula merujuk kepada Nabi Yusuf dan pada beliaulah ditemui penyelesaian. Konsep ini juga ditegaskan al-Quran dalam sebuah ayatnya yang bermaksud: "Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkan padahal kalau mereka kembalikan saja hal itu kepada Rasulullah dan kepada uli'l-amri (orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka, dan jikalah tidak kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut syaitan kecuali sedikit saja (iaitu orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu)." (Surah An-Nisa: ayat 83). 

Satu hari, Madinah dilanda isu yang mengejutkan. Ada berita yang menyatakan Rasulullah menceraikan semua isterinya. Hampir semua penduduk Madinah termakan isu berkenaan. Umar terperanjat dan beliau terus bertanyakan kepada Nabi yang kemudian dinafikan oleh baginda. Andainya isu itu benar, sememangnya akan menjejaskan kestabilan Madinah. Kerana rahmat dan kurnia Allah maka ayat di atas diturunkan (HR Bukhari dan Muslim) agar umat Islam selalu berhati-hati dan tidak bertindak melulu sebelum dirujukkan sesuatu perkara yang menimpa mereka kepada pihak berkuasa yang akan mengistinbat atau mencari cara penyelesaian yang tepat, sesuai dan berkesan. 

Sememangnya, benarlah al-Quran dengan ayatnya yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, kisah nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah nabi yang terkandung dalam al-Quran) bukanlah cerita yang diadakan-adakan, tetapi ia mengisahkan apa yang tersebut di dalam kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman." (Surah Yusuf: ayat 111).

No comments:

Post a Comment